Friday, November 4

Hadith 32 - Jangan memudaratkan

Di dalam Matan Arba'in (hadith 40) karangan Abu Zakaria Yahya al-Nawawi (meninggal pada 1278) rahimahullah, ada sebuah hadith Rasulullah saw yang masyhur, pendek namun sangat siknifikan maknanya dalam kehidupan kita (hadith ke 32);

"La dhororo wa la dhirar"

(tiada kemudharatan dan tidak boleh memudharatkan)

Prinsip ini yang jelas dalam pendekatan Islam semua aspek. Kita tak mencari mudharat dan dan boleh memudharatkan orang lain.

Prof David Nutt ada mengetuai satu kumpulan penyelidik bebas ke atas sejumlah dadah dan mereka menyimpulkan alkohol merupakan dadah yang paling merbahaya antara dadah yang biasa diambil manusia, jauh mengatasi dadah-dadah lain. Laporan ini ada di dalam the Lancet.

Mereka telah menyenaraikan 9 kesan buruk dadah kepada individu dan 7 kesan buruk kepada masyarakat dan keputusannya ialah alkohol berada pada tangga teratas, mengatasi heroin, cocaine dan lain.

LINK

Thursday, November 3

Antara Elton John dan Ilya Grad

Dengar cerita Ilya Grad sudah puas bertinju di Malaysia, dan Elton John berkunjung ke negara kita. Seorang mahu bersukan, dan yang seorang lagi mahu menghiburkan rakyat Malaysia yang kebosanan dengan karenah ahli politik negara yang tenggelam dalam arena politik kelucahan.
Jadi, di mana salahnya menjadi sihat dan kekal ceria?

Tokoh terkemuka dunia Sheikh Yusuf Qardhawi pernah dilarang untuk masuk ke Britain pada tahun 2008. Sepatutnya beliau ke ke Britain untuk menjalani rawatan kesihatan. Ini satu pengiktirafan kepada perkhidmatan kesihatan di negara tersebut yang bertaraf dunia. Namun kerana kerajaan Britain yang bertegas pada prinsip dan berkeras untuk tidak membenarkan beliau memasuki negara tersebut, beliau gagal memperoleh visa. Alasannya, beliau boleh mencetuskan keadaan tidak senang di dalam masyarakat. Samada justifikasinya tepat atau tidak, itu bukan soalnya. Apa yang pasti, kerajaan mereka berpendirian tegas pada persoalan prinsip yang mereka pegang.

Ahli Parlimen kontroversi Belanda Geert Wilders juga pernah dilarang daripada memasuki negara Britain. Filem pendek Fitna arahan beliau yang menghina agama Islam telah mengemparkan seantero dunia. Kerana kehadiran beliau boleh mencetus ketegangan antara kaum dan agama, beliau telah dilarang untuk memasuki negara Britain. Jelas sekali lagi prinsip yang utuh menjadi pegangan kerajaan Britain. Sekali lagi, samada justifikasinya tepat atau tidak, itu bukan soalnya. Apa yang pasti, persoalan prinsip dipegang erat, dan kemaslahatan rakyat menjadi keutamaan.

Negara lain tegas pada prinsip mereka, mengapa kerajaan Malaysia berpendirian bagaikan yoyo dek kerana ingin mengampu kuasa besar Barat?

Tatkala Palestin sedang bergolok bergadai meraih status penuh sebagai sebuah negara di PBB, Malaysia pula tanpa segan silu menghamparkan karpet merah mengalu-alukan kedatangan peninju Israel. Tatkala Palestin memerlukan sokongan seluruh masyrakat dunia untuk bangkit menentang kezaliman musuh regim Zionis, Malaysia pula mengalu-alukan kedatangan Ilya Grad untuk mengibarkan bendera 1Israel.

Apabila Palestin mencari penghormatan dan kedaulatan, kita balas dengan penghinaan. Di manakah hilangnya prinsip dan maruah kita?

Elton John pula sudah masyhur seantero dunia, dan akan beraksi di tanah air tercinta. Kira-kira enam tahun yang lalu, seluruh dunia kecoh dengan ‘pernikahan’ pada detik pertama perkahwinan civil dibenarkan di sisi undang-undang England. Artis terkemuka berpusu-pusu untuk menghadiri majlis sambutan penyatuan dua jiwa satu hati yang mahu bercinta sehidup semati. Samada normal atau tidak, itu belakang kira. Yang penting , kasih mereka tiada sempadan.

Seperti mana di Malaysia yang kaya dengan adat ketimuran yang berteraskan Islam, gejala homoseksual pernah asing di Britain suatu ketika dahulu. Namun kini sudah menjadi sebahagian daripada norma kehidupan dan menghakis nilai masyarakat. Hari demi hari semakin banyak undang-undang yang diubah untuk membuka laluan kepada hubungan homeseksual dan yang berkaitan. Manifestasi daripada keruntuhan moral dalam masyarakat semakin jelas apabila rusuhan oleh golongan muda memalukan Britain di mata dunia beberapa bulan yang lalu.

Jika anda membenci, jangan membenci individu yang memiliki naluri homoskesual atau transeksual ini, bahkan kita seharusnya menyayangi mereka sebagai manusia yang bernyawa. Golongan ini jangan dipulaukan, bahkan perlu dibantu untuk kembali kepada sifat hakiki. Namun kita mesti bertegas pada amalan dan kepercayaan yang jauh daripada nilai kemanusiaan. Bukan sahaja manusia,bahkan haiwan juga menolak nilai dan amalan di luar tabii ini.

Jangan nanti pada masa hadapan, apabila sudah tiada calon suami yang sesuai untuk anak perempuan kita, timbul penyesalan di hati akan kesilapan yang lalu. Sudah terhantuk, baru terngadah!

Dulu homoseksualiti merupakan satu kepelikan, kini satu kebiasaan, kemudian satu kebanggaan. Andai hari ini seorang penyokong agenda Zionis kita hadirkan atas nama ahli sukan, tidak mustahil selepas ini kita jemput sebagai teman perniagaan. Akhirnya hilang pertimbangan yang mana musuh dan yang mana rakan. Pepatah Melayu ada menyebut, alah bisa tegal biasa.

Andai kita tidak serius dan tiada ketegasan pada prinsip dan nilai pada hari ini, nescaya kita mewariskan generasi masa hadapan dengan seribu satu kepincangan. Cegah sebelum parah, elak sebelum sengsara, barangkali ubatnya belum tentu ada. Andai tersilap langkah pada hari ini, kelak negara akan binasa.