Thursday, August 30

Saya pada 26 Julai 2007

Secara umumnya, kesemua kampung-kampung yang kami pergi dalam Misi Kemanusiaan Kemboja 2007 terletak kira-kira di antara satu jam dan satu jam setengah perjalanan daripada pekan Kampong Cham. Ini kecuali kampung ketiga yang kami lawati, kerana kami menggunakan bot untuk sampai ke kampung dalam masa lebih kurang 30 minit sahaja. Namun satu persamaan di antara semua kampung yang kami lawati ialah kehidupan mereka sangat daif.



KAMPUNG PERTAMA: Kg Ang Tung So

Kampung Ang Tung So secara literalnya bermaksud belut. Pada 26 Julai, kami bertolak seawal jam 7 pagi setelah bersarapan di pekan Kampong Cham. Perjalanan ke kampung ini adalah yang paling lama, dan jalan yang kami lalui menaiki van amat mencabar, kerana semakin kami menghampiri kampung ini, semakin teruk keadaan jalan yang sememangnya tidak berturap dengan tar. Permukaan jalan yang tidak rata bertambah buruk dengan adanya lopak-lopak air di sana sini. Namun begitu, sepanjang perjalanan, kami dihidangkan dengan lagu-lagu bahasa Khmer dan bahasa Inggeris secara selang seli yang dimainkan oleh pemandu van kami, Encik Bon Ho.

Di pertengahan jalan, kami melalui Kg Krabai, sebuah kampung yang akan kami lawati pada hari kelima nanti. Ketibaan kami di Kg Ang Tung So lebih kurang jam 8.30 pagi mendapat sambutan meriah dari penduduk kampung yang telah menunggu ketibaan skuad kami, malah mereka telah mempersiap surau dan madrasah di sebelah surau sebagai tapak majlis khatan dan klinik.


Berhenti rehat sebentar di Masjid Kg Krabai. Kelihatan Abdus Salam, pelajar perubatan Kemboja mencekak pinggang.


Meriahnya! Tak sabar makcik-makcik ni nak mendapatkan rawatan kesihatan. Beginilah keadaan ketika kami tiba.


Berus gigi beserta ubat gigi percuma diedarkan kepada kanak-kanak sebelum mereka diajar teknik gosok gigi yang betul.

Kapten misi, saudara Amin menyerah sumbangan muqaddam kepada Imam Masjid Kg Ang Tung So, sambil disaksikan oleh Dr Mousin, presiden Persatuan Perubatan Islam Kemboja.


Dari pagi hingga ke waktu Asar, kami telah menjalankan pemeriksaan kesihatan, khatan, dan memberikan ubat-ubatan kepada penduduk kampung mengikut preskripsi dikeluarkan doktor-doktor yang bersama skuad kami seperti Dr Sokry (bakal doktor), Dr Mousin (sebut: Muhsin), dan Dr el-Boravy. Di samping itu, pada sessi pagi, pendidikan pergigian juga diberikan kepada penduduk kampung dengan sasaran utama ialah kanak-kanak. Seronok budak-budak tu dapat berus gigi dan ubat gigi percuma! Saudari Iza, pelajar pergigian di Cork, Ireland telah mengendalikan sessi tersebut dengan Dr el-Boravy telah bertindak selaku penterjemah kepada bahasa Cham. Dan selepas solat Asar pula, derma dalam bentuk kewangan dan al-Quran serta muqaddam diberikan masing-masing kepada ketua kampung dan imam surau.

Ketika menjaga meja pendaftaran klinik, saya menjangkakan akan menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dalam usaha mendapatkan nama dan umur daripada penduduk kampung. Namun begitu, kami beruntung kerana terdapat beberapa warga kampung yang fasih berbahasa Melayu. Yahoooooo! Memang seronok sangat.

Pada mulanya, saya telah bertanya kepada Farouqin, salah seorang pelajar perubatan yang bersama kami, maksud "siapakah nama awak?" dan "berapa umur" dalam bahasa Khmer. Jadi, apabila saya bertanyakan kepada penduduk kampung, situasinya lebih kurang begini;

Saya: Chemo ai? (Siapa nama?)
Timah* : Timmah
Saya: Agok pon man? (Berapa umur?)
Timah*: !#$%&€$
Saya: (alamak!)

*bukan nama sebenar

Saya tak tahu angka dalam bahasa Khmer. Dalam keadaan saya terpinga-pinga, tiba-tiba kedengaran suara di sekitar saya berkata: "50!". Tersenyum sendiri saya pada ketika itu melihat kanak-kanak perempuan yang telah membantu saya itu, kerana dengan adanya 'penterjemah' macam ni, senang sikit kerja sepanjang hari ni! Sebenarnya, kanak-kanak perempuan tersebut sedang menunggu giliran, jadi setelah sampai gilirannya untuk pendaftaran, dan dia berlalu pergi untuk ke meja seterusnya iaitu meja untuk pemeriksaan tekanan darah, saya ingatkan sudah hilang 'penterjemah' saya. Namun sangkaan saya meleset, kerana ada pula seorang kakak membantu saya menterjemahkan bagi penduduk kampung yang tidak boleh berbahasa Melayu. Begitulah keadaannya sehingga ke waktu petang. Kadang-kadang tu, sampai 2-3 orang terjemah serentak...baik betul diorang ni......


Ramainya menunggu giliran. Sekarang turn adik botak berbaju merah pula.....


Faiz sedang tekun menyedia local anesthetic untuk khatan


kami telah dijamu dengan makanan tradisi. Ulam Je dan kuah kacang pasti menjadi hidangan di setiap kampung yang kami singgah


walaupun pada mulanya agak malu-malu, akhirnya adik berbaju kuning dan bertudung merah ini yang telah menjadi penterjemah saya telah sudi bergambar bersama sebelum pulang.

1 comment:

Anonymous said...

Salam...

Saya ingin mendapat kebenaran dari pihak saudara untuk menggunakan gambar kebajikan seperti dibawah ini dan lain-lain jika boleh

http://img212.imageshack.us/img212/7845/99sw9.jpg

tujuannya adalah untuk pembikinan courseware/e-learning untuk Tingkatan 4 subjek syariah.. Bahagaian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia.