Salam sahabat-sahabat,
Dunia ini dipenuhi dengan pelbagai perkara yang kadang-kadang dirasakan tidak memenuhi citarasa kita. Ada perkara yang kita berhajat akannya, namun tidak menjadi milik kita. Ada sesuatu yang telah kita ketemu, namun kita akan berpisah juga akhirnya.
Lihatlah daun yang berwarna hijau, yang terang malar warnanya, akhirnya pasti akan menjadi kuning juga akhirnya. Sungguh banyak daun-daun hijau yang mematuhi kitaran alam ini, namun tidak ada sehelai pun yang akan berkekalan. Musim bunga yang menyaksikan tunas-tunas daun mula membesar, tidak menjanjikan sesuatu yang berkekalan kerana apabila musim luruh tiba, pasti daun-daun ini akan kembali meliang-liuk jatuh mengena bumi.
Lihatlah kepada makanan yang kita masak dengan penuh usaha dan ketekunan. Secantik dan sekemas mana pun hiasan kepada makanan, namun akan habis juga dijamah manusia kelaparan. Tidak kurang juga manusia yang 'djamah' kezaliman dan mati kelaparan dek kezaliman manusia yang angkuh dan tamak memenuhi poket diri dan dua tiga kerat pengikutnya. Kezaliman yang memisahkan insan dan ruhnya.
Lihatlah kepada si ibu yang membesarkan anaknya dengan penuh kasih sayang, sesuatu yang sukar digambarkan perasaan sebenarnya kepada sang anak apabila dia telah besar dewasa. Dukungan sebelum boleh berjalan, mengelap mulut yang comot dengan makanan, dan berjaga di malam hari lantaran terikan tanpa henti si anak merupakan sesuatu yang ada dalam rakaman di sisi Allah swt. Sampai waktunya, pasti si anak akan mengenangkannya dan menjadi pula si ibu dan begitulah seterusnya sehingga dihadapkan di hadapan Rabbu Jalil.
Percayalah, tidak ada sesuatu kesusahan ataupun bala bencana yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kita, melainkan telah sedia ada di dalam pengetahuan Pencipta kita, bahkan sebelum kita diciptakannya. Hal ini sesuatu yang menakjubkan kepada manusia namun demikianlah ia amat mudah bagi Allah swt..
Fahamilah wahai orang-orang yang boleh memahami dan semoga kefahaman itu datang daripada-Nya juga.
-primary sclerosing cholangitis-
No comments:
Post a Comment