Friday, May 21

Pencipta lagu 'Bengawan Solo' meninggal dunia

Gesang Martohartono, maestro muzik keroncong dan penggubah lagu tersohor "Bengawan Solo" meninggal dunia petang semalam di Rumah Sakit PKU Muhammadiyah Solo, tempat beliau menjalani rawatan sejak 12 Mei lalu.

Gesang, 92, meninggal dunia pada jam 6.10 petang semalam, menurut pasukan doktor yang merawatnya.

Jenazahnya akan dikebumikan hari ini namun belum ditentukan di mana jenazahnya akan disemadikan.

Akhir Januari lalu, Gesang menjalani pembedahan prostat di hospital yang sama.

Gesang yang dilahirkan pada 1 Okt 1917, dikenali sebagai maestro keroncong Indonesia yang terkenal di Asia, terutama di Jepun.

Lagu Bengawan Solo telah diterjemahkan ke dalam 13 bahasa termasuk bahasa Inggeris, Cina dan Jepun serta pernah digunakan dalam sebuah filem Jepun.

Lagu yang menceritakan tentang sungai terpanjang di Pulau Jawa itu dicipta pada tahun 1940 ketika Gesang berusia 23 tahun dan mengambil enam bulan untuk dihasilkan.

Sebelum menjadi pencipta lagu, beliau merupakan penyanyi keroncong di pesta perkahwinan.

Gesang yang tidak mempunyai anak, tinggal bersama keluarganya di Serengan, Solo setelah berpisah dengan isterinya pada 1962.

Sebagai menghargai jasanya terhadap perkembangan muzik keroncong, pada tahun 1983 Jepun mendirikan Taman Gesang dekat Bengawan Solo. Taman itu dibiayai oleh Dana Gesang, sebuah pertubuhan yang ditubuhkan di Jepun.

Antara anugerah yang diterima Gesang ialah Bintang Penghargaan dari Maharaja Jepun, Maharaja Akihito pada 1992 dan Tanda Kehormatan Bintang Budaya Parama Dharma dari Presiden Indonesia.



Nottingham Kini: Teringat semasa menyanyikan lagu ini di dalam pasukan koir sekolah rendah. Sayu mengenangkan bagaimana sebuah sungai yang sungguh taat di dalam menjalankan tanggungjawabnya untuk mengalir dan terus mengalir untuk manfaat manusia tanpa sebarang rungutan....

Pencipta lagunya pun sudah tiada, namun sungainya masih terus mengalir hingga ke suatu waktu...

1 comment:

Ahn Dee (Asyandi) said...

rindu alam yang tenang dan damai..
Subahanallah..