Monday, August 16

Mahasiswa berpolitik

Selaku mahasiswa atau masyarakat umum, kita jangan terperangkap dengan tajuk polemik nasional ini iaitu ''kewajaran membenarkan mahasiswa berpolitik''.

Pada hemat saya secara peribadi selaku seorang pelajar yang sudah bergelar mahasiswa hampir 4 tahun, hasil daripada perbahasan ini bukanlah agar semua mahasiswa menyertai partai politik pilihan mereka. Bukan juga semua mesti turun berdemo di jalanan dan berteriakan meminta itu dan ini daripada pihak kerajaan. Dan bukan juga kita menuntut mahasiswa naik ke pentas-pentas ceramah politik untuk berkempen bagi calon-calon pujaan mereka semasa musim pilihanraya.

Namun apa yang kita sama-sama hasratkan ialah satu kondisi telus dalam tegur menegur berteraskan goresan sabda Nabi di dalam sunan-sunan yang masyhur yang berbunyi;

Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam, maka bukanlah dia itu dari kalangan mereka

Kita mahu melahirkan barisan mahasiswa yang bertenaga dan tidak gusar dalam menyampaikan pandangan, atas hasrat ingin melihat sebuah kerajaan yang lebih progresif dan dinamik. Pendek kata, kita mahu golongan muda yang berprinsip dan kalau ini berjaya dicapai, kita tidak aka lari jauh kerana secara tuntasnya, kita semua berpegang kepada prinsip sejagat yang sama.

Pokoknya, kita mahu golongan mahasiswa yang karakternya ampuh dan berani, serta berbisa. Bukannya golongan yang lesu dan patah taringnya. Juga ibarat merpati putih yang patah sayapnya. Mustahil mampu terbang tinggi!

Analogi yang menarik ialah kisah si anak gajah yang dirantai.

http://farm1.static.flickr.com/85/214276574_79dd9f2ce7_m.jpg

Pada suatu ketika, si anak gajah yang masih kecil dirantai kakinya, agar dia tak dapat lari ke mana-mana. Lalu apabila si anak gajah mencoba memutuskan rantainya, dia akan jatuh lantaran kuatnya rantai itu. Cubaan demi cubaan menemui kegagalan. Ini membawa ke satu peringkat si anak gajah berhenti berusaha dan berkata kepada dirinya ''aku tidak boleh memutuskan rantai ini''. Setelah beberapa tahun, si anak gajah membesar dan menjadi sang gajah yang gagah perkasa, namun kakinya masih dirantai kerana mentalitinya masih sama seperti yang dahulu, iaitu ''aku tidak boleh''.

Hasilnya, mahasiswa jadi endah tidak endah akan isu-isu nasional. Isu-isu seperti rasuah, kenaikan harga tol, kebejatan sosial (buang anak, liwat, haruan makan anak), kenaikan harga minyak, pembelajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris disifatkan sebagai isu politik dan mahasiwa dilarang daripada berbicara soal ini. Dan pada waktu yang sama, negara dilanda gejala hedonisme yang tidak terkawal yang mahasiswa DIBOLEHKAN pula untuk melibatkan diri. Justeru, diri mahasiswa yang dikosongkan daripada isu-isu penting dan agung diriuhkan dengan wabak-wabak yang bakal merosakkan diri mereka dan seterusnya generasi harapan ini.

Walhasil, pihak yang menekan golongan mahasiswa mungkin boleh bergembira atas kejayaan sementara ini, namun harga yang terpaksa dibayar amat mahal, iaitu menggadaikan generasi masa depan yang akan memimpin anak cucu kita. Generasi yang ditumpulkan mindanya!

Konklusinya, marilah kita wujudkan mahasiswa yang berpegang kepada prinsip dan mampu menyuarakan pendapat secara telus dan ikhlas. Kematangan mahasiswa boleh kita lihat JIKA suasana yang matang diwujudkan oleh pihak kerajaan dan pentadbiran universiti. Mereka tidak boleh direncatkan potensi dan wataknya dengan larangan-larangan yang tidak masuk akal yang menghasilkan golongan mahasiwa yang tidak masuk akal wataknya - bersifat kebudak-budakan dan tidak mampu berdikari dan hanya mampu mengikut apa yang disuruh.

3 comments:

theonlywan said...

sgt suke post ni...

zt said...

sangat bersetuju. Good post. Thanks

mushana udon mustafa said...

daus ni bukan hang tulis kan? haha.

btw page ko macam sangat susah nak load (bagu mereka yang berinternet kelajuan rendah). if possible try to limit down on the unnecessaries. try a simpler template.