90 sen untuk roti canai, roti jala, teh O
Oleh MUHD. NIZAM ABD. HAMID
ALOR STAR 6 Jun – Mungkin ramai yang beranggapan nilai RM1 terlalu kecil ketika ini lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga pelbagai barangan keperluan harian, namun di Restoran Nasi Kandar Aina di sini nilai itu mencukupi untuk membayar harga sarapan pagi yang lengkap dengan minuman.
Dengan 90 sen sahaja, pengunjung restoran yang terletak di Pekan Simpang Kuala itu boleh menikmati tiga jenis menu iaitu sekeping roti canai, sekeping roti jala dan segelas air teh O.
Pengurus restoran itu, Abd. Nasir Abd. Ghaffar berkata, harga baru tersebut yang menyaksikan penurunan kira-kira 50 peratus daripada harga asal telah bermula sejak semalam.
Saiz roti canai yang dihidangkan tetap sama seperti sebelum ini.
‘‘Saya mahu menyahut cabaran kerajaan agar peniaga tidak menaikkan harga barangan ekoran daripada kenaikan gaji kakitangan awam,” katanya ketika ditemui di restorannya di sini hari ini.
Menurutnya, langkah sesetengah peniaga menaikkan harga barangan termasuk roti canai pada kadar yang tidak berpatutan mungkin menyebabkan orang ramai dan kakitangan awam tidak dapat merasai kesan positif kenaikan pendapatan mereka.
Abd. Nasir berkata, beliau percaya tindakannya menurunkan harga itu tidak akan membawa kerugian kepada Restoran Nasi Kandar Aina kerana perniagaannya tidak terlalu bergantung kepada jualan roti canai.
‘‘Saya percaya lebih ramai pelanggan akan datang ke restoran ini dan kami juga menawarkan pelbagai makanan lain terutama nasi kandar dan lauk pauk masakan kampung,” ujarnya.
Beliau telah mengusahakan restoran itu sejak tahun 1998 dan menerima kira-kira 1,000 pengunjung setiap hari.
Katanya, kos sekeping roti canai mungkin kira-kira 29 sen sekeping.
‘‘Bagi peniaga yang bergantung sepenuhnya pada jualan roti canai, mereka mungkin tidak dapat menjual pada harga 30 sen sekeping kerana kos bahan mentah dan pekerja tetapi saya mempunyai makanan lain untuk dijual,” ujarnya.
Abd. Nasir yang turut mengekalkan harga makanan lain bagaimanapun mengakui kenaikan harga barang mentah antara 20 hingga 30 peratus ketika ini berbanding harga tahun lalu menyebabkan keuntungan peniaga makanan turut menurun.
‘‘Saya berharap kerajaan dapat mengambil tindakan mengawal harga barang terutama memastikan pihak pemborong dan pembekal makanan tidak menaikkan terlalu tinggi harga barang yang dibekalkan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment