Dalam kesibukan saya menyiapkan bahan-bahan untuk FUiYO 2008 (Fun with iLuvislam's Youth Overseas) yang bakal menjelma minggu hadapan, saya berkenan berkongsikan video tsunami 2004 ini.
inshaAllah pada hari penutup FUiYo nanti ialah pada 26 Disember, sempena 4 tahun selepas tragedi.. nak sebut tragedi berdarah, tidak sesuai pula, sebab semua darah diluted dalam limpahan air ombak yan menjulang sehingga 9 meter tinggi nya, dan menghilangkan insan-insan bumi Aceh sekali.
1) pada ketika tsunami ini berlaku, saya baru sahaja masuk Kolej Yayasan UEM, tempat saya menyambung pelajaran A-Level dan baru hendak memasuki semester kedua. Teringat satu kuliah Maghrib Mr Zaidi akan muhasabah pasca Tsunami yang menjadi fenomena seantero dunia. Mengapa peristiwa dahsyat ini menjadikan majoriti mangsanya ummat Islam?
2) Peristiwa ini sangat dahsyat. Namun kedahsyatan ini hanyalah sebutir pasir di Pantai Cahaya Bulan daripada seluruh pasir di seluruh dunia (Laut Pasifik, Atlantik, Hindi, China Selatan, seluruh pantai di muka bumi). Allahu Akbar!
3) Apa impak peristiwa ini kepada kita selepas 4 tahun? Kita telah melihat ramai yang insaf , masjid-masjid dengan penuh 'ajaib' terselamat dan ada juga sama seperti biasa (kitakah?). Apa impaknya kepada kita?
4) Anak-anak yang lahir selepas peristiwa ini hanya akan melihat tsunami ini sebahagian daripada peristiwa sejarah 'lampau'. Perlukah kita menanti satu lagi tsunami untuk generasi mereka untuk memicit suis keinsafan?
5) Kepada semua yang akan menyertai FUiYO, inshaAllah akan kita bincang panjang pengalaman Tsunami Acheh 2004. Kepada yang tidak ke FUiYO, ingin saya kongsikan sebuah kisah Rizah Shahputra, pemuda yang hanyut di lautan selama 8 hari (subhanallah!)
Hikmah Rizal Sahputra di sebalik tsunami
Kecekalan remaja itu mendapat perhatian pentadbiran University College Sedaya International (UCSI), Cheras di ibu negara untuk belajar di situ. Buat permulaan beliau akan mengikuti kursus bahasa Inggeris sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat. Dalam pertemuan dengan Wartawan Eksekutif Berita Minggu, AZRAN JAFFAR, sewaktu mendaftar di institusi pengajian itu Khamis lalu, Rizal Sahputra menceritakan pengalamannya untuk dijadikan iktibar bersama.
Tarikh ngeri 26 Disember
PAGI itu keadaannya seperti biasa, tiada tanda-tanda akan berlaku musibah. Saya dan bapa sebenarnya hendak mengikuti gotong royong mendirikan masjid baru di kampung kami. Tiba-tiba gegaran berlaku, sekitar empat minit.
Keadaan agak teruk juga dan saya hampir terjatuh. Saya yang paling akhir keluar dari rumah kerana menyelamatkan barang-barang. Selepas saya keluar keadaan sudah tenang. Kami sangkakan gempa itu hanya setakat itu sahaja dan tidak akan membawa kepada malapetaka.
Kami juga tidak bercadang melarikan diri ke kawasan lebih tinggi, walaupun pada masa itu saya nampak binatang seperti lembu dan burung-burung sedang berlari dan terbang arah ke kawasan gunung. Hairan juga dengan kejadian itu. Jiran-jiran pada waktu itu sudah mulai berkumpul di hadapan rumah kami kerana ayah (Abdul Hamid Zakaria) saya memberikan kata semangat kepada mereka.
Saya kemudiannya menyuruh adik (Asirah Sahputri, 17) mengambil cangkul di belakang rumah kerana hendak pergi ke masjid bersama ayah yang letaknya kira-kira 20 meter dari rumah kami. Di masjid saya bertanya kepada mereka yang ada, adakah ada rumah yang hancur. Tidak terfikir pula saya hendak ke melihat kesan gempa itu kerana ingin terus melakukan kerja di masjid. Sedang bekerja itu yang mana kedudukan saya berhadapan dengan ayah, tiba-tiba kedengaran bunyi seperti guruh. Sememangnya pada waktu itu gelombang sudah sampai ke laut tetapi kami tidak tahu, tambahan pula keadaan rumah yang rapat-rapat, laut tidak kelihatan dari kawasan masjid. Mendengar bunyi itu saya katakan kepada ayah bahawa kiamat sudah hampir tiba.
Di kalangan orang Aceh, jika berlaku gempa pada waktu pagi sebelum matahari tinggi, itu tandanya akan berlaku malapetaka. Pada waktu itu kami melihat kanak-kanak yang rumah mereka berhampiran laut berlari sambil berteriak, bang lari, ombak naik. Saya berlari ke arah rumah kerana dari sana saya boleh nampak laut dan melihat ombak memutih yang tinggi.
Tingginya ombak itu sehingga menenggelamkan pulau yang boleh dilihat dari pantai. Saya kemudian berlari ke arah ayah lalu meminta maaf dan meminta ayah menyelamatkan emak dan adik, dan mengatakan saya hendak lari ke arah gunung. Saya tidak sempat meminta maaf daripada emak (Suryana Baiman) kerana pada waktu itu emak berada di dalam rumah.
Kira-kira 200 meter berlari saya melihat ombak sudah menghentam kawasan rumah kami. Pada waktu itu keluarga saya sedang hendak keluar rumah untuk lari ke arah gunung. Saya berlari dengan sekuat hati dan sampai di satu tempat saya berjumpa dengan pakcik saya dan berkata, “paman lari cepat.” Pada waktu itu ombak sudah menghampiri saya. Saya terus berlari mencari pokok kerana beranggapan kalau ombak datang, kayu-kayu rumah tidak akan mengenai saya kerana ada yang saya lihat putus kepala terkena serpihan kayu yang dibawa ombak. Saya juga nyaris hampir terkena serpihan kayu. Kemudian datang ombak dan saya tercampak ke sebuah rumah dan sekali lagi ombak datang saya dibawa naik ke tingkat atas. Pada waktu itu rumah saya sudah tidak kelihatan lagi. Selepas itu datang lagi ombak dan saya terus tenggelam, tetapi masih sedar dan kemudian tersangkut pada pokok kelapa. Saya cuba naik ke hujung dan kemudian datang ombak lagi, sekali lagi saya tenggelam dan apabila tersedar saya dapati saya berada di tengah laut.
Hanyut di tengah laut
APABILA sedar saya dapati keliling saya penuh dengan sampah dan mayat manusia dan badan saya berasa sakit. Rasa takut tidak timbul dan apa yang saya lakukan adalah berdoa kepada Allah minta diselamatkan. Saya cuba mencari bahan untuk berpaut, dan ternampak tilam, tetapi sebaik saya menaikinya tilam itu tenggelam. Kemudian saya kumpulkan kayu-kayu dan dalam usaha itu saya terjumpa mayat enam orang wanita dan saya tengok satu persatu kalau-kalau ada adik saya, tetapi yang ada ialah mayat adik kawan saya.
Begitulah keadaannya dan saya sangkakan satu dunia mengalami keadaan ini. Pada waktu tengah malam hari pertama saya terdengar suara seseorang minta tolong. Saya cari dan dapat menariknya ke tempat saya berpaut. Tetapi keadaannya sungguh lemah dan saya biarkan dia terus berpaut. Keesokan harinya selepas dia mulai sedar barulah saya bertanya siapa dia dan mengatakan dia dari Meulabouh. Dia katakan ibunya selamat kerana tinggal di kawasan gunung manakala isterinya adalah seorang anggota polis. Keadaannya masih lemah dan roti hanyut yang saya jumpa saya berikan kepadanya.
Pada hari kedua itu juga banyak mayat mulai timbul dan baunya menusuk ke hidung. Saya terpaksa menanggalkan baju untuk menutup hidung, namun baunya masih dapat dihidu. Pada waktu tengah hari tiba-tiba satu mayat timbul dan apabila dibelek mendapati mayat kakak sepupu saya. Saya mula berasa bahawa inilah juga nasib yang menimpa keluarga saya. Keesokan harinya saya dapati saya masih di kawasan perairan Aceh yang saya kira Lok Ngha kerana nampak loji simen. Kawan saya itu berkata dia hendak berenang ke sana, tetapi saya katakan, “kamu tak mampu untuk berenang ke sana.” Dia membalas dan berkata, “saya tak boleh tahan lagi dengan keadaan sejuk, tiada makanan.” Kemudian saya berkata, ”terserahlah kepada kamu.” Kami kemudiannya berpecah kerana dia hendak berenang ke arah daratan sehinggalah dia hilang dari pandangan saya. Saya tidak tahu nasibnya.
Malam itu saya keseorangan semula. Walaupun badan berasa sakit, tetapi saya tidak hiraukan dan apa yang saya harapkan akan ada orang yang datang menolong menyelamatkan saya. Hanya pada malam keempat berlaku kejutan yang luar biasa apabila saya mendengar suara azan dan orang mengaji. Nak lelapkan mata juga tidak dapat kerana timbul suara yang mengatakan, “Rizal kalau kamu mahu selamat jangan tidur.” Keadaannya berterusan sehingga malam esoknya.
Pada malam itu juga terdengar suara seperti saya dan kawan sedang bercakap-cakap. Dalam tempoh itu juga saya hanya bergantung hidup kepada air hujan. Ada juga saya berjumpa jamu dan satu pencangkuk yang hanyut. Hari keenam saya dapat sebiji kelapa yang datang ke arah saya. Saya cuba kopek dan minum airnya, tapi selepas minum rasa sakit perut. Walaupun kadang-kadang berlaku ribut, saya tidak hiraukan dan berdoa kepada Allah minta diselamatkan. Cita-cita saya hendak menjadi polis dan abang saya yang bertugas sebagai askar banyak mengajar saya mengatasi cabaran. Latihan bersama abang mungkin memberi kekuatan kepada saya. Tetapi sekarang saya berasa tidak mahu menjadi polis kerana cita-cita yang kita idamkan, bila terjadi sesuatu yang harus kita lupakan, jadi saya lupakan selama-lamanya. Allah memberi saya peluang lain, jadi saya lupakan yang itu.
Syukur saya diselamatkan
PADA hari kelapan, saya nampak sebuah kapal mendekati saya, tetapi mereka tidak nampak saya. Saya cuba menghampiri tetapi mereka masih tidak nampak dan hanya memandang sehingga ia hilang dari pandangan. Apabila hari sudah semakin petang saya nampak sebuah lagi kapal. Saya solat Asar dan berdoa kepada Allah, kemudian lihat kapal itu sudah menghampiri saya. Saya minta tolong, tiba-tiba kapal itu menghala ke arah lain, kemudian saya nampak pelampung dicampakkan ke arah saya. Saya terus berenang ke arah pelampung berkenaan. Sebaik saya sampai ke pelampung saya lihat kayu yang saya gunakan selama ini untuk berpaut tiba-tiba tenggelam. Pada waktu itu laut tenang dan ia jadi sebegitu. Sewaktu saya berenang ke arah pelampung saya begitu bersemangat dan rasa kuat, tetapi sebaik sampai ke atas kapal, badan saya terus lemah. Tiada lagi kekuatan.
Sampai di kapal mereka tanya saya dari mana dan katakan dari Aceh. Mereka kata, “tsunami.” Saya tanya, “apa itu tsunami” dan saya katakan “gelombang”. Selepas itu butir diri saya diambil dan saya kira tidak kurang 20 kali perkara yang sama ditanya kepada saya. Dah habis seorang bertanya, datang pula lagi seorang menanyakan perkara yang sama. Saya dibawa berehat. Saya tidak mampu berjalan kerana kaki saya luka teruk. Apa yang diberikan saya buat pertama kalinya adalah dua botol besar air mineral. Habis saya minum dan kemudian saya minta nasi. Tetapi mereka katakan belum boleh lagi, dua jam lagi. Selepas dua jam saya diberikan bubur dan tiga jam kemudian diberikan air.
Pagi 5 Januari saya sampai di Pelabuhan Klang. Keadaan saya belum stabil. Kaki saya parah dan sudah membengkak, sudah menghitam. Tiga hari di hospital saya dengar cerita ada satu lagi penemuan. Saya sudah berasa selain saya mungkin akan ada orang lain yang senasib. Saya berharap yang akan ditemui nanti adalah anggota keluarga saya. Pada hari kejadian, abang saya berada di rumah seorang saudara di Banda Aceh. Seminggu di hospital saya tidak dapat melelapkan mata. Keadaan saya masih belum stabil dan berasa terawang-awang seperti di laut. Fikiran juga tidak menentu mengenangkan keluarga dan memikirkan masa depan.
“Hanya kita berdua selamat”
SAYA dibawa ke rumah timbalan duta dan sebulan di sana saya masih dibayangi pelbagai persoalan. Saya berasa saya perlu lebih mendekati Allah untuk saya lupakan segala-galanya. Saya bersembahyang malam walaupun kadang-kadang ia timbul juga. Seumur hidup, saya tidak akan dapat melupakan peristiwa itu, saya hanya pura-pura melupakan, tetapi ia tidak dapat dilupakan terus. Sepanjang hidup saya, saya tidak pernah berfikir perkara sebegini akan berlaku. Apa yang saya sering gambarkan ialah saya akan terus tinggal di Aceh, berkeluarga dan membahagiakan ibu bapa saya.
Sewaktu berada di rumah timbalan duta, saya cuba menghubungi markas abang (Ronal Sahputra) saya. Beberapa hari cubaan saya gagal sehinggalah akhirnya saya dapat bercakap dengan abang. Abang menangis mendengar suara saya dan saya tanyakan siapa lagi yang terselamat dan abang katakan, “hanya kita berdua.” Saya minta abang supaya kuatkan semangat dan beritahu saya melihat ayah, emak dan adik hilang di depan mata saya. Abang tanya bila saya hendak kembali ke Aceh, saya katakan, “nantilah.”
Saya berasa keluarga saya sudah tiada lagi kerana saya melihat ombak memukul rumah kami dan berjumpa mayat kakak sepupu menguatkan lagi tanggapan saya kerana pada waktu kejadian mereka berada berhampiran. Timbul juga berita bahawa ada orang di Medan yang mengaku ibu saudara saya tetapi ia tidak benar. Saya tiada saudara mara di Medan yang ada hanya di Riau, adik emak saya, tetapi itu pun sudah putus hubungan kerana dia sudah berjaya dan melupakan kami semua, kirim surat pun tak dibalas. Saudara mara yang ada Medan sekarang ini pun adalah mereka yang terselamat dalam kejadian itu dan berpindah ke sana. Orang yang mengaku ibu saudara itu mungkin mempunyai anak saudara yang sama namanya dengan saya.
Mahu terus belajar
SELEPAS belajar bahasa Inggeris saya ingin mendalami bidang teknologi maklumat. Saya ingin lupakan bidang elektronik yang saya pelajari di Aceh. Hendak buat yang baru. Tumpuan saya sekarang adalah untuk belajar. Menurut sebuah buku karangan seorang Profesor di Amerika yang saya baca sewaktu berumur 18 tahun, kalau kita sedang menghadapi masalah, bahagikan pemikiran kita kepada lapan kotak. Ini yang akan saya lakukan, mengambil kotak-kotak ini. Ayah saya yang beli buku itu kerana beliau seorang guru.
Mengenai tawaran belajar, saya berasa amat bangga. Bagi kami di Aceh kalau dapat belajar di Malaysia adalah satu kebanggaan, tambahan pula apa yang saya dapat ini selepas Aceh dilanda bencana dan ini saya anggap sebagai sesuatu yang luar biasa. Saya berasa kemewahan yang Allah kurniakan kepada saya. Keadaan saya di sini masih belum tetap lagi, tetapi difahamkan saya akan diberikan kerja sambilan.
Dalam soal pelajaran, bahasa Inggeris saya memang lemah kerana kami kurang pendedahan. Tetapi kalau mata pelajaran lain seperti Sejarah, saya memang bagus dan pernah mendapat hadiah kecemerlangan. Di Aceh, bahasa Inggeris hanya diajar dua jam seminggu, itu pun kadang-kadang tak ada guru. Memang kami agak ketinggalan.
Dalam soal membahagikan masa antara belajar dan kerja tiada masalah kerana asrama dan tempat belajar tidak jauh. Untuk menguasai bahasa Inggeris apa yang harus saya lakukan adalah berani untuk bertutur. Saya berasa bangga dengan UCSI kerana menawarkan peluang ini. Saya bertanya dalam hati, di saat kita susah siapa yang memerhatikan, kerana itu saya berasa bangga.
Walaupun ada yang menawarkan pekerjaan kepada saya, tetapi untuk pelajaran UCSI yang memberikannya. Selepas tamat pengajian nanti saya bercadang untuk bekerja dan melanjutkan pelajaran dan selepas itu mungkin pulang ke Aceh mengembangkan ilmu teknologi maklumat di sana. Sesekali datang juga pertanyaan kenapa saya tak dibawa ke negara lain, ke India misalnya.
Selepas tamat sekolah saya mendaftar dengan kerajaan untuk menjadi pelatih yang mana sekiranya ada kekosongan jawatan di mana-mana saya boleh mendapat pekerjaan kerana sudah ada pengalaman. Bagaimanapun, sebelum kejadian saya baru dua bulan menjadi pelatih dan gaji pun belum diambil. Saya bercadang hendak mengambilnya pada hujung bulan Disember.
Jika tidak berlaku tsunami, mungkin sekarang ini saya bertugas di Jabatan Pendidikan. Ini kerana saya pernah menghubungi seorang rakan dan beliau mengatakan nama saya disenaraikan untuk jawatan berkenaan. Saya boleh pulang ke Aceh untuk bekerja di sana, tetapi untuk apa? Ia ibarat mempunyai rumah besar, dilihat indah di dalamnya, tetapi hancur. Saya ingin membina hidup b