Friday, May 22

Selaju mana Usain Bolt berlari, akhirnya pulang ke Jamaica juga.

Sejauh mana pun tupai berlari, akhirnya lompat ke pokok juga.

Setinggi mana merpati terbang, akhirnya hinggap di dahan juga.

Selaju mana Usain Bolt berlari, akhirnya pulang ke Jamaica juga.

Itulah antara kata-kata yang sempat saya fikirkan setelah menerima sepotong SMS daripada seorang sahabat saya di universiti yang berdekatan pada pagi ini.

Betapa punya bersungguh-sungguh Barisan Nasional memikirkan dan memberikan tiga alasan untuk tidak bertanding di dalam pilihanraya di DUN Penanti (Pulau Pinang), akhirnya muncul pula sebuah lagi pilihanraya kecil yang baru yang bakal di adakan di DUN Manek Urai. (setelah disahkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)).

BN memberikan alasan penjimatan ekonomi dan 'ini semua muslihat pembangkang', namun pihak Pakatan Rakyat pula berpendapat yang BN sudah tidak mampu untuk mengekang 'the winning streak' yang dikecapi dan 'momentum kemenangan' yang sedang dikuasai oleh PR.

Memang saya sendiri berpendapat BN tidak mampu untuk menang jika pilihanraya diadakan sekarang, baik di Penanti, seluruh Perak mahupun di DUN Manek Urai. Entah bagaimana walaupun berada jauh di perantauan, namum aura tersebut seakan-akan terasa merentasi Lautan Hindi, Laut Kaspia, menyusuri Sungai Danube dan bersama-sama Banjaran Alps membelah awan sehingga ke Selat Inggeris.

Punyalah berhempas pulas Majlis tertinggi BN bermesyuarat untuk memutuskan untuk tidak bertanding di Penanti, tup..tap..tup..tap, ada satu lagi pilihanraya menanti! Maha suci Allah yang Maha berkuasa dan Maha Hebat perancangan-Nya.

Sekarang rasanya umum mahu mengetahui keputusan samada BN akan bertanding atau tidak dalam pilihanraya pada kali ini, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelumnya. Maksud saya, menanti keputusan daripada BN, kerana BN/UMNO yang lama pastinya akan bertanding, namun tidak lagi dalam era politik moden tanahair yang semakin progresif kini.

Ucapan Takziah saya kepada YB Hj Ismail Yaacob, anda telah pergi mendahului kami dan semoga amalan-amalan tuan semasa hidup di dunia diterima Allah.

Sesungguhnya pekerjaan yang paling utama ialah pekerjaan yang memberikan manfaat kepada orang lain. Apatah lagi sebagai pemimpin, inilah tugas utama anda, lalu Allah membuka pelbagai pintu kecemerlangan akhirat kepada para pemimpin.

Suka saya memetik hadith Rasulullah;

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنَ الأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ

مِنَ الإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya:

Sesiapa yang mengajak manusia ke jalan hidayah (kebenaran), dia akan memperolehi ganjarannya seperti ganjaran orang-orang yang mengikutinya. Tidak dikurangkan sedikit pun daripada ganjaran pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak manusia ke jalan kesesatan, maka dia akan memperolehi dosanya seperti dosa orang-orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka. (1)

(Hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah, nombor 6980)


Yusuf Qardhawi ada mengulas dengan cukup cantik sekali seperti berikut;

Dalam satu hari seorang pemimpin mengeluarkan pelbagai keputusan yang menyelamatkan beribu-ribu orang, bahkan berjuta-juta orang yang dizalimi, mengembalikan hak yang hilang kepada pemiliknya, mengembalikan senyuman ke bibir orang yang tidak mampu tersenyum. Selain itu dia mengeluarkan keputusan yang dapat memotong jalan orang-orang yang berbuat jahat dan mengembalikan mereka kepada asalnya atau membuka pintu petunjuk dan taubat.

Pemimpin yang adil juga sewajarnya mendirikan projek-projek pembangunan yang berguna sehingga tindakan itu dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan untuk para penganggur, menyediakan makanan kepada mereka yang lapar, ubat-ubatan untuk mereka yang sakit dan rumah kepada mereka yang berkeliaran, dan memberikan pertolongan untuk orang yang memerlukan.

Itulah antara sebab ada di kalangan ulama' salaf yang mengatakan;

''Kalau kami mempunyai doa yang lekas dimakbulkan, maka kami akan mendoakan penguasa''

Alasannya bahawa sesungguhnya Allah dapat meningkatkan kemanfaatan terhadap kebanyakkan makluk-Nya dengan melalui kebaikan yang diperoleh daripada penguasa tersebut.


Dalam sebuah hadith, ada juga disebut;

Satu hari untuk pemimpin yang adil adalah lebih afdal daripada ibadah enam puluh tahun.

(hadith hassan riwayat Thabrani, daripada Ibn Abbas)

Besar sungguh ganjaran kepada para pemimpin, dan sekarang baru saya faham mengapakan ada didoakan para pemimpin dalam doa semasa solat Jumaat. Cumanya sekarang jadi pelik kerana yang kita doakan itu tidak kita rasa seperti pemimpin kerana ruh kepimpinan itu sudah lenyap.

Dan kepada para pengundi dan penyokong hizbul islami (parti Islam @ PAS), janganlah dek kerana ''the winning streak'' yang mewarnai pentas politik pada ketika ini menjadikan diri anda lalai dan leka, dan hubungan tautan hati dengan Allah menjadi lesu. Kerasa sesungguhnya usaha tanpa tawakal kepada Allah akan boleh membawa kepada syirik lantaran keyakinan untuk menang diletakkan ke atas usaha semata-mata.

Renungilah at-Taubah ayat 25, yang merakamkan peristiwa perang Hunain;

'iz 'a' - jabat - kum kasratukum

semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai

Mari sama-sama ambil pelajaran kerana penyakit hati yang kecil ('ujub) telah merebah jentera peperangan buat seketika. It happened in the past, and it can happen again.

1 comment:

Izzaldeen said...

Love the introduction! Everything has an end. It's a matter of time in the end.